JENAYAH & MAHKAMAH

Sukarelawan operasi tangkap anjing, suri rumah nafi jerut dan tarik Rocky

KLANG – Seorang sukarelawan operasi tangkapan anjing liar dan seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan kepada seekor anjing dalam kejadian bulan lalu.

Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S Roghini Devi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Muhammad Shah Idham didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali jerut sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.

Roghini pula didakwa secara tidak munasabah menarik anjing sama sehingga mengakibatkan kesakitan kepada haiwan itu.

Kedua-dua perbuatan didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara pukul 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu, lapor Bernama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

rocky
Roghini juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh selain meminta pasport diserahkan kepada mahkamah dan mereka melaporkan diri di pejabat JPV negeri.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah Idham dan Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Roghini memohon jaminan minimum RM3,500 atas alasan anak guam mereka memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan syarat supaya mereka melaporkan diri di pejabat JPV Selangor setiap bulan dan menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Roghini turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memelihara seekor anjing berusia lebih tiga bulan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi dan waktu sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret A Karthiyayini membenarkan Roghini diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button