Ketua Pemuda UMNO desak tindakan tegas terhadap individu perlekeh lagu Negaraku
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang individu yang didakwa menyanyikan lagu Negaraku secara main-main.
Menurutnya, perbuatan itu jelas tidak menghormati negara dan tidak sepatutnya dibiarkan tanpa hukuman berat, sama ada pelaku mahupun pihak yang mempertahankannya.

“Sebelum ini kibarkan bendera Malaysia terbalik. Kali ini nyanyikan lagu Negaraku secara main-main pula.
“Dah buat dulu, baru minta maaf! Ini bukan soal bangsa atau parti politik, tetapi soal tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk menghormati negara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Akmal menegaskan, isu ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan maruah dan penghormatan kepada negara.
“Negara ini perlu dihormati, bukan diperlekehkan. Orang bukan nak perbesarkan isu, tetapi isu menghormati negara adalah yang paling besar,” tegasnya.
Beliau turut mencabar pihak yang sering membela kes-kes seumpama itu untuk tampil mempertahankannya kali ini.
“Kepada geng-geng yang akan suka back up isu-isu sebegini, tolong back up pula kes ini. Nak tengok alasan apa korang guna, mungkin akan guna alasan individu ini tiada otak seperti kamu pula,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menyeru agar individu terbabit segera ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal tanpa mengira latar belakang bangsa atau parti politik yang menyokongnya.
“Ini soal menghormati negara, bukan soal perkauman atau politik kepartian. Tindakan mesti diambil supaya ia menjadi pengajaran kepada semua,” ujarnya.
Insiden terbaru itu berlaku selepas tular beberapa kes sebelum ini termasuk pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di beberapa lokasi yang turut mendapat perhatian ramai pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















