Dr Akmal gesa semak dasar subsidi, cadang potong gaji wakil rakyat
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan menilai semula dasar penyelarasan subsidi bahan api yang didakwa memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya golongan yang sudah lama berjimat cermat.
Menurut beliau, terdapat jurang ketara antara angka yang dibentangkan dalam laporan rasmi dengan realiti kehidupan sebenar rakyat di bawah, yang kini berdepan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.
“Mungkin bagi sesetengah orang apabila subsidi dipotong, jumlah itu sedikit dan tidak terkesan bagi diri mereka.
“Tetapi percayalah, mungkin sedikit bagi mereka tetapi sangat besar dan terkesan untuk orang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menegaskan, golongan yang terkesan sebenarnya telah lama mengamalkan perbelanjaan berhemah sebelum ini, dan pemotongan subsidi hanya menambah beban sedia ada.
“Saya mohon untuk pihak kerajaan melihat semula cadangan yang telah diberikan oleh kami untuk membantu mereka yang sangat terkesan ini.
“Jika tidak mahu mendengar, saya juga ingin mencadangkan agar gaji Ahli PParlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang dipotong untuk sama-sama merasa bagaimana kehidupan yang rakyat rasakan sekarang ini,” tegasnya.

Kenyataan itu turut disertakan dengan reaksi rakyat susulan laporan bertajuk “Penyelarasan RON95, rakyat tidak terjejas, 90 peratus guna 100 liter”.
Seorang pengguna berkongsi situasi dirinya bersama pasangan yang berulang-alik sejauh 133 kilometer setiap hari untuk bekerja, selain perlu singgah ke rumah ibu yang tinggal bersendirian.
Menurutnya, penggunaan minyak bulanan mereka mencecah sekitar 600 liter, dan bantuan BUDI yang diterima hanya mencukupi untuk keperluan asas.
“Kalau boleh, kami yang benar-benar menggunakan BUDI sepenuhnya ini dikekalkan pada 300 liter, atau ditambah kepada 400 liter,” katanya sambil berharap diberikan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup.
Isu subsidi bahan api terus menjadi perdebatan apabila pelbagai pihak menggesa pendekatan lebih seimbang agar tidak membebankan golongan yang benar-benar memerlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















