BERITA SEMASA

BUDI95 jimat sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada 2026 – Anwar

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada tahun 2026, tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu dibuat susulan keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi fiskal memandangkan kerajaan mewarisi tahap hutang dan defisit yang tidak mampan selain ketirisan subsidi pukal yang turut dinikmati golongan tidak layak.

Menurutnya, meskipun isu penyasaran subsidi telah lama dibincangkan termasuk oleh pimpinan terdahulu, ia tidak dilaksanakan kerana kekurangan tekad politik untuk menggerakkan reformasi demi kemampanan kewangan negara.

“Di bawah pentadbiran MADANI, kita memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi secara berfasa tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak.

“Setelah kejayaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel tanpa membebankan rakyat, kini penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Fong Kui Lun (Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, pagi ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mengambil pendekatan mengapungkan harga petrol sepenuhnya seperti disarankan Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi kerana langkah itu berisiko melonjakkan inflasi serta menambah beban kos sara hidup, termasuk kepada golongan pertengahan.

Sebaliknya, menerusi BUDI95, rakyat Malaysia menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter manakala warga asing dan sektor komersial dikenakan harga pasaran.

“Penggunaan MyKad membolehkan subsidi disalurkan secara lebih selamat, teratur dan efisien. BUDI95 merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari atau 96 juta transaksi sebulan, membuktikan proses pembelian kekal lancar,” katanya lagi.

Tambah beliau, had 300 liter sebulan bagi RON95 bersubsidi adalah mencukupi berdasarkan data penggunaan yang menunjukkan purata sekitar 100 liter sebulan dan 90 peratus pengguna tidak melebihi 200 liter sebulan.

Mengulas mengenai manfaat penjimatan tersebut, Anwar berkata, hasil pengurangan ketirisan termasuk pembendungan sindiket penyeludupan ke negara jiran membolehkan lebihan fiskal diagihkan semula kepada rakyat.

“Penjimatan ini membiayai penambahan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bermula 9 Februari lalu, seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad.

“Dalam tempoh dua hari pelaksanaan SARA Untuk Semua, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh dua juta rakyat sekali gus menjana limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya lagi.

Beliau turut berkata, prinsip kerajaan MADANI adalah memastikan pertumbuhan dipacu reformasi, manakala hasil reformasi fiskal dipulangkan semula kepada rakyat demi menjamin kesejahteraan dan kebajikan terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button