Kerajaan Persekutuan teruskan usaha bangunkan Sabah dan Sarawak
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah bagi menggalak dan mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan-kawasan yang masih kurang membangun termasuklah di Sabah dan Sarawak serta kawasan-kawasan sempadan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara strategi dan langkah berterusan yang diambil adalah membangunkan infrastruktur asas seperti jalan, air, elektrik dan internet bagi meningkatkan ketersambungan serta keterhubungan di kawasan yang kurang membangun.
“Ini penting bagi mewujud serta menggalakkan aktiviti ekonomi untuk berkembang dan barangan serta perkhidmatan dapat digerakkan dengan lebih efisien.
“Kerajaan juga memberi tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak melalui Bidang Fokus E, Bab 5, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) untuk mengoptimumkan potensi ekonomi kedua-dua negeri ini dengan merancakkan aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi seperti industri aeroangkasa, pelancongan, tenaga boleh dibaharui, gas asli, pertumbuhan hijau dan pertanian pintar,” kata Anwar, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (GRS – Keningau) mengenai fokus Kerajaan Persekutuan dalam memesatkan pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Anwar, setakat RP3 RMKe-12, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM31.086 bilion, dengan RM16.730 bilion bagi Sabah manakala selebihnya bagi Sarawak.
Bagi pembangunan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, Anwar berkata Parlimen telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 bilion.
Peruntukan tersebut adalah bagi mempercepat pembangunan infrastruktur asas dan keselamatan seperti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS), pos keselamatan dan lain-lain bagi memastikan pembangunan sempadan di negara adalah setara dengan pembangunan sempadan di negara-negara jiran.
“Kerajaan Perpaduan (turut) komited merealisasikan perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi menjaga kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Banyak usaha dan perkara dalam MA63 yang dipersetujui telah dilaksanakan, dengan lapan perkara berkaitan tuntutan asas MA63 telah diselesaikan.
“… terdapat empat perkara/tuntutan asas MA63 yang selesai sebahagian di mana ia sedang dalam proses rundingan dan tindakan kementerian-kementerian terlibat bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak,” kata Anwar lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








