BERITA SEMASA

Kerajaan teliti penyasaran subsidi barangan asas

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti penyasaran subsidi membabitkan barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa selepas pelaksanaan subsidi bahan api menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) dan diesel berjalan lancar.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, penyasaran subsidi akan dilaksanakan lebih menyeluruh bagi memastikan tidak ada ketirisan dan menjamin kemudahan itu hanya dinikmati rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan diesel dan BUDI95 sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang menyeluruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Hui Ying berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk meluaskan penyasaran subsidi kepada barangan lain seperti gula, beras dan minyak masak bagi memastikan ia sampai kepada golongan memerlukan.

Hui Ying seterusnya berkata, bagi memastikan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak sampai kepada golongan sasar, kerajaan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, khususnya melalui Op Tiris dan Kita Gempur.

Tambahnya, kerajaan juga akan memastikan ketersediaan bekalan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak di setiap siri program Jualan Rahmah Madani.

“Bagi 2025, pelaksanaan program Jualan Rahmah itu diperluaskan kepada dua kali sebulan bagi setiap DUN, berbanding sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen sebelum ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button