CUEPACS sokong penyasaran subsidi RON95 demi golongan benar-benar layak
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah penyasaran subsidi petrol RON95 sebagai usaha tepat bagi memastikan manfaat tersebut sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk majoriti penjawat awam dalam kategori B40 dan M40.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, dari sudut jangka panjang, pelaksanaan rasionalisasi subsidi penting untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, sekali gus membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan kepada sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan penjawat awam.
“CUEPACS menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan penstrukturan semula subsidi RON95 dengan pendekatan lebih bersasar.
“Sebagai kesatuan induk yang mewakili lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara, kami memandang serius implikasi pelaksanaan dasar ini terhadap kesejahteraan pekerja sektor awam serta keberlangsungan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan telus kepada rakyat supaya pelaksanaan dasar itu dapat difahami serta diterima dengan baik, sekali gus menyumbang kepada kejayaan agenda kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih mampan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








