Cadangan kurangkan kuota subsidi BUDI disifat bebankan rakyat
KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mengurangkan kuota subsidi petrol BUDI daripada 200 liter kepada 150 liter sebulan disifatkan bakal menambah tekanan kepada rakyat yang sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kerajaan tidak seharusnya menilai penggunaan petrol rakyat berdasarkan statistik semata-mata tanpa memahami realiti kehidupan harian masyarakat.
Menurut beliau, ramai rakyat kini terpaksa tinggal jauh dari tempat kerja akibat harga rumah dan kadar sewa yang semakin tinggi di kawasan bandar, sekali gus memaksa mereka berulang-alik dalam jarak yang jauh setiap hari.
“Golongan keluarga muda khususnya memilih menetap di kawasan pinggir bandar atau luar bandar bagi mengurangkan beban kewangan termasuk komitmen ansuran rumah, sewa bulanan, kos penjagaan anak, pendidikan dan keperluan harian lain.
“Bukan semua rakyat mempunyai akses kepada pengangkutan awam yang efisien, terutama mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
“Ramai pekerja kilang, pekerja syif, penjawat awam, peniaga kecil, penghantar makanan, pekerja gig, pesawah dan petani masih bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan terdapat rakyat yang perlu menghantar anak ke sekolah jauh, menjaga ibu bapa warga emas atau ahli keluarga yang sakit serta melakukan lebih daripada satu pekerjaan demi menampung kehidupan.
Justeru katanya, penggunaan petrol kini bukan lagi dianggap sebagai pilihan mewah tetapi satu keperluan asas untuk meneruskan kehidupan harian.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa pengurangan kuota subsidi kepada 150 liter akan memberi tekanan tambahan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
Beliau turut menggesa kerajaan agar lebih sensitif terhadap keperluan rakyat serta memberi tumpuan kepada dasar yang memahami realiti kehidupan masyarakat, bantuan yang benar-benar bersasar dan penyelesaian jangka panjang terhadap isu kos sara hidup serta kemampuan memiliki rumah berhampiran tempat kerja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








