BERITA SEMASA

Perkhemahan songsang: Jangan tunggu dan lihat, segera ambil tindakan termasuk batalkan lesen – gesa ADUN Permatang

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor digesa mengambil tindakan lebih tegas dan proaktif terhadap penganjuran program perkhemahan, “Glamping With Pride”, susulan kenyataan seorang Exco negeri yang hanya meminta pihak polis memantau dan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Nurul Noh Omar berkata, pendekatan tersebut sebagai terlalu lemah, bersifat reaktif dan tidak mencerminkan tanggungjawab sebenar kerajaan negeri dalam mempertahankan nilai masyarakat, agama serta keharmonian sosial di Selangor.

Menurut beliau, isu penganjuran program berkenaan bukan sekadar berkaitan aspek keselamatan awam di bawah bidang kuasa polis, sebaliknya melibatkan kuasa undang-undang negeri, tanggungjawab pentadbiran Islam serta keutuhan nilai masyarakat yang menjadi asas pemerintahan Selangor.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai kuasa jelas di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri dan peruntukan pentadbiran Islam untuk menyiasat, mengeluarkan notis amaran serta menghentikan atau membatalkan program yang mempromosikan ideologi atau perlakuan bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, sekiranya program tersebut mengandungi unsur yang boleh mencetuskan kekeliruan, kerosakan akhlak atau menormalisasikan gaya hidup bercanggah dengan Islam, JAIS bukan sahaja boleh bertindak malah wajib bertindak lebih awal sebelum program dijalankan.

Dalam masa sama, Nurul menekankan bahawa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa penuh untuk menarik balik kebenaran penggunaan lokasi, membatalkan lesen atau permit sementara serta menghentikan penganjuran acara sekiranya ia bercanggah dengan nilai komuniti setempat, sensitiviti agama dan kepentingan awam.

“Tidak ada keperluan untuk menunggu kesalahan berlaku terlebih dahulu. Pencegahan awal adalah prinsip tadbir urus yang lebih bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa isu moral, agama dan nilai masyarakat tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri dan institusi agama.

“Selangor mempunyai identiti dan nilai tersendiri. Kenyataan Exco yang hanya meminta polis memantau adalah tidak mencukupi dan terlalu longgar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri Selangor mengarahkan JAIS bertindak segera manakala PBT membatalkan sebarang kelulusan berkaitan serta menghentikan penganjuran program tersebut secara tegas, proaktif dan berprinsip.

“Selangor tidak boleh ditadbir dengan pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Kepimpinan yang bertanggungjawab mesti berani bertindak sebelum kerosakan berlaku,” katanya.

Semalam Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah meminta
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemantauan sekiranya berlaku sebarang elemen pelanggaran undang-undang dalam penganjuran program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat yang dijangka dianjurkan pada 17 hingga 18 Januari depan.

Katanya, PDRM mempunyai bidang kuasa yang luas bagi mengekang dan menyelesaikan sebarang pelanggaran undang-undang terhadap penganjuran program berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button