BERITA SEMASA

Dasar umur kemasukan prasekolah dan tahun satu perlu ditangguh, tumpu perkukuh asas 3M – ADUN Permatang

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menangguhkan pelaksanaan dasar baharu kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan tahun satu pada usia enam tahun yang dijadual bermula pada tahun hadapan kerana dikhuatiri menjejaskan kesiapsiagaan kanak-kanak untuk mengikuti pembelajaran formal.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Permatang merangkap Ketua Penerangan Srikandi BERSATU, Nurul Syazwani Noh berkata, dasar pendidikan tidak seharusnya ditentukan berdasarkan umur semata-mata tanpa mengambil kira tahap perkembangan dan kesiapsiagaan sebenar murid.

Menurut beliau, statistik rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan lebih 27 peratus murid tahun satu masih gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat awal persekolahan, sekali gus membuktikan kegagalan sistem menangani asas pendidikan kanak-kanak.

“Ini bermakna lebih satu perempat kanak-kanak dipaksa memasuki sistem pembelajaran formal tanpa asas minimum untuk belajar. Dalam situasi ini, menurunkan umur kemasukan sekolah bukan satu pembaharuan, sebaliknya satu paksaan yang berisiko menghukum anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional berkata, kegagalan menguasai 3M bukan bersifat sementara, sebaliknya mencetuskan rantaian masalah berpanjangan termasuk ketinggalan akademik, tekanan emosi, hilang keyakinan diri serta keciciran senyap daripada sistem pendidikan.

Katanya, kesan tersebut jelas dilihat di peringkat menengah apabila sekitar satu perempat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal dalam mata pelajaran Matematik setiap tahun, mencerminkan kegagalan membina asas pembelajaran sejak peringkat awal.

Nurul turut memberi amaran bahawa murid luar bandar dan daripada keluarga B40 bakal menjadi golongan paling terkesan sekiranya dasar tersebut dilaksanakan secara menyeluruh tanpa intervensi bersasar.

“Jurang akses kepada prasekolah berkualiti, kekurangan guru terlatih pendidikan awal serta perbezaan latar sosioekonomi menyebabkan tahap kesiapsiagaan murid luar bandar jauh ketinggalan. Dasar seragam tanpa sokongan khusus hanya akan melebar jurang pendidikan dan menginstitusikan ketidakadilan sejak hari pertama persekolahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan dasar tersebut sepenuhnya dan menggesa kerajaan mengambil langkah lebih berhati-hati termasuk melaksanakannya secara berfasa, mewajibkan saringan kesiapsiagaan 3M sebelum darjah satu, merombak kurikulum prasekolah agar lebih berfokus kepada literasi dan numerasi, serta menyalurkan sumber tambahan kepada murid berisiko tinggi khususnya di luar bandar.

Sebagai perbandingan, beliau berkata kebanyakan sekolah antarabangsa tidak menjadikan umur sebagai satu-satunya kriteria kemasukan ke Year 1, sebaliknya melaksanakan saringan kesiapsiagaan awal bagi memastikan kanak-kanak benar-benar bersedia mengikuti pembelajaran formal.

“Prinsipnya jelas, kemajuan murid ditentukan oleh keupayaan, bukan umur. Ini adalah pendekatan tegas tetapi bertanggungjawab yang wajar dijadikan penanda aras dalam pembentukan dasar pendidikan negara,” katanya.

Nurul menegaskan dasar pendidikan yang lemah akan memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang dan mengingatkan kerajaan agar tidak menjadikan anak-anak Malaysia sebagai bahan uji kaji dasar.

“Selesaikan kegagalan asas 3M terlebih dahulu, barulah bercakap soal perubahan struktur pendidikan,” katanya.


SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button