BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPM arah siasatan menyeluruh kematian murid Tahun 4 di Senawang

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan agar siasatan terhadap kejadian membabitkan kematian seorang murid Tahun 4 di sebuah sekolah di Negeri Sembilan dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi bagi memastikan keadilan ditegakkan.

KPM dalam satu kenyataan berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan serta memberi perhatian penuh terhadap kenyataan dikeluarkan keluarga murid terbabit.

“Pada waktu ini, kes masih dalam siasatan pihak polis. Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu semalam.

Terdahulu, seorang murid lelaki berusia 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sekolahnya di Senawang, Negeri Sembilan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian berpunca daripada tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa.

Semalam, media melaporkan bapa kepada mangsa kanak-kanak berkenaan, Muhammad Hafizuddin Abdullah, mendakwa wujud tanda tanya mengenai kejadian yang menimpa anaknya.

Antaranya adalah mengenai catatan perbualan yang ditujukan kepada arwah anaknya yang berbunyi ugutan dan pada malam sebelum kejadian, mangsa dikatakan ada memberitahu kakaknya mengenai seseorang yang mahu dia mati.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button