Gaduh di sekolah: Empat murid digantung, 14 lagi terima amaran – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Empat pelajar dikenakan tindakan gantung sekolah manakala 14 yang lain diberi surat amaran selepas terlibat dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu diambil selaras dengan prosedur disiplin sedia ada setelah beliau sendiri turun padang ke sekolah terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian yang tular di media sosial.
“Tular hantaran di media sosial berkenaan pergaduhan di sebuah sekolah yang melibatkan beberapa orang murid.
“Saya hadir ke sekolah tersebut pagi ini bagi mendapatkan maklumat penuh kejadian dan tindakan yang telah diambil.
“Empat orang murid terlibat akan digantung sekolah, manakala 14 orang murid lagi diberi surat amaran. Tindakan tegas diambil selaras dengan prosedur disiplin yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut beliau, murid yang digantung sekolah akan mengikuti program khidmat masyarakat di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah, sebagai langkah mendidik dan memperbetulkan tingkah laku mereka.
“Sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi untuk membimbing murid mengubah tingkah laku mereka menerusi penerapan nilai-nilai murni,” tambahnya.
Fadhlina turut menegaskan pendirian KPM untuk tidak berkompromi dalam isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan, dan menekankan keperluan langkah pencegahan bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat serta sejahtera.
“Saya pertegaskan KPM tidak berkompromi dengan isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan. Langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi memastikan ekosistem selamat dan kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















