Kerajaan luaskan Bantuan Awal Persekolahan kepada pelajar Tingkatan Enam
PUTRAJAYA – Kerajaan memperluaskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar tingkatan enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, peluasan bantuan sebanyak RM150 itu kepada pelajar tingkatan enam akan memanfaatkan lebih 100,000 pelajar dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
“Ini peluang yang sangat baik, BAP diberikan kepada pelajar tingkatan enam buat kali pertamanya dalam sejarah, dan kita mahu anak-anak tingkatan enam ini terus bersemangat.
“Kita harap inisiatif untuk tingkatan enam akan dapat kita tambah baik lagi kerana tingkatan enam ini sangat penting, ia pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan khususnya untuk menjamin akses pendidikan kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya lagi, peluasan pemberian BAP kepada pelajar tingkatan enam juga adalah cerminan keprihatinan kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan.
Agihan BAP kepada pelajar tingkatan enam sedia ada, akan dilaksanakan pada Februari 2025 manakala pelajar baharu akan menerima BAP pada Julai 2025.
Inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk terus memperkasakan pendidikan selain untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan tingkatan enam, selepas SPM, katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Okt lepas, mengumumkan pemberian BAP diteruskan, dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







