BERITA SEMASA

KPM beri kerjasama penuh siasatan kes Zara Qairina – Fadhlina

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan kes melibatkan murid, Zara Qairina yang meninggal dunia selepas jatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Sabah, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan kes tersebut kini sedang berjalan dan dikendalikan pihak polis manakala KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses berkenaan.

“Pada waktu ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu. Berilah ruang kepada pihak polis untuk menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fadhlina, sebarang tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan pihaknya memberi jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi atau terlepas daripada tindakan undang-undang.

“JPN Sabah komited untuk terus memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terpelihara. Bantuan segera termasuk sokongan psikososial turut disalurkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Fadhlina turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

Terdahulu, kejadian melibatkan seorang murid yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Sabah pada 17 Julai lalu tular di media sosial.

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button