Penuntut universiti ditahan dipercayai keluarkan ucapan hasutan ketika himpunan solidariti Zara Qairina
TAWAU – Polis mengesahkan penahanan seorang penuntut universiti awam kerana dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan pada Himpunan Solidarity Justice For Zara di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, wanita berusia 23 tahun yang juga pelajar semester tiga itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, lapor HM Online.
Penahanan itu dibuat susulan 14 laporan polis berhubung ucapan wanita itu yang dikatakan menyentuh kedudukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah antara individu yang diberi peluang berucap dalam himpunan itu yang didakwa mengandungi unsur hasutan terhadap TYT (Musa) dan menimbulkan kegusaran awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, hari ini.
Jasmin berkata, polis turut memanggil beberapa saksi lain untuk membantu siasatan, selain menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus dan berlandaskan prosedur undang-undang.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan wanita terbabit selepas video ucapannya dalam himpunan itu malam kelmarin, yang didakwa mengandungi unsur hasutan tular di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






