BERITA SEMASA

Kes kematian Zara Qairina: Pejuang tuntut tindakan tegas terhadap pengurusan sekolah

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Papar, Sabah susulan kematian seorang pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai menjadi mangsa buli berterusan.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Noor Zarina Nordin berkata, tragedi itu bukan sahaja menyayat hati, malah mencerminkan kegagalan sistemik institusi pendidikan dalam menjamin keselamatan pelajar.

“Menurut pendedahan keluarga dan saksi rapat, Zara berdepan gangguan berterusan serta aduan yang diabaikan oleh warden dan guru kaunseling. Malah, sistem aduan dalaman sekolah juga didakwa gagal berfungsi dengan telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, semua pihak yang terlibat dalam pengurusan sekolah perlu dikenakan tindakan sewajarnya termasuk pengetua, warden, guru disiplin dan kaunselor yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Semua pihak ini mesti dipertanggungjawabkan atas kegagalan melindungi pelajar di bawah jagaan mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa agar tindakan yang diambil sejajar dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menetapkan hukuman kepada penjaga institusi yang lalai sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian terhadap kanak-kanak.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk penggantungan tugas sementara semua pihak terlibat siasatan dalaman oleh Kementerian Pendidikan (KPM) secara telus dan menyeluruh, serta pendedahan laporan kepada umum.

“Kami juga mencadangkan perombakan SOP keselamatan pelajar dan aduan buli termasuk pemasangan CCTV serta saluran aduan bebas di sekolah berasrama penuh,” katanya lagi.

Menurutnya, insiden menyedihkan itu wajar menjadi titik tolak kepada perubahan menyeluruh dalam usaha membanteras budaya buli dan kecuaian institusi pendidikan.

“Zara berhak mendapat keadilan dan seluruh sistem pendidikan perlu bertanggungjawab agar tiada lagi anak bangsa menjadi mangsa kelalaian,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button