JELEBU – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur jenayah dalam kes kematian anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan akibat kecederaan serius.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang dan kes tersebut akan dibawa ke mahkamah sekiranya wujud elemen jenayah.
Menurutnya, kerajaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited menegakkan keadilan serta memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa depan, lapor Buletin TV3.
“Saya mengikuti perkembangan kes ini dan sebarang bentuk penderaan fizikal adalah tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu, di sini.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada pukul 9.34 pagi semalam selepas dua minggu dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang susulan kecederaan dipercayai akibat dipukul di Kem Batalion 25 RAMD, Bentong pada 31 Mac lalu.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati berkaitan tugasan pembersihan, dengan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah dipercayai menggunakan kekerasan termasuk menampar dan menumbuk tujuh anggota lain.
Ahmad Zahid menegaskan semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan tidak mengambil tindakan disiplin di luar garis panduan, khususnya yang melibatkan penderaan fizikal.