Keberanian pemandu lori elak nahas diiktiraf
KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang bertindak pantas bagi mengelakkan terjadinya kemalangan membabitkan sebuah bas membawa 21 penumpang berhampiran Terowong Menora, minggu lalu, diraikan dalam satu majlis penghargaan di bangunan Parlimen, hari ini.
Wong Tuck Meng,40, dianugerahkan imbuhan sebanyak RM10,000 serta sijil penghargaan daripada Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia dalam satu majlis khas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan Tuck Meng pada 15 Jun lalu itu berjaya menghalang kemungkinan berlakunya tragedi yang lebih besar di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Ipoh.
“Keberanian Wong telah dikongsi secara meluas di media dan media sosial, menyebabkan kementerian menjemput beliau ke Dewan Rakyat.
“Awal hari ini, ketika membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan, saya mengetengahkan insiden ini dan merakamkan penghargaan terhadap keberanian serta tindakan menyelamatkan nyawa oleh Wong dalam Hansard Parlimen.
“Sebagai pengerusi majlis, saya menyampaikan surat penghargaan dan RM10,000 kepada Wong sebagai pengiktirafan atas keberaniannya,” katanya selepas majlis tersebut.
Loke berkata, tindakan Tuck Meng wajar menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu profesional, mengenai kepentingan sentiasa berwaspada.
“Kisah seperti ini perlu dikongsi secara meluas, dan sebab itu kita mengiktiraf tindakannya bagi menggalakkan lebih ramai pengguna jalan raya supaya terus berwaspada,” katanya lagi.
Terdahulu di Dewan Rakyat, ahli Parlimen turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Tuck Meng di atas keberaniannya.
Penghargaan itu disampaikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas Anthony Loke membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








