JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek tembak operator kilang ada 13 rekod jenayah lampau

KULIM – Seorang pemandu lori yang ditahan berhubung insiden tembakan di Padang Serai, kelmarin mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, kata polis.

Timbalan Ketua Polis Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, di sebuah rumah di Kampung Naga Lilit.

Polis turut merampas sepucuk revolver berkaliber .38 dengan 10 butir peluru bersama kelongsong, sebuah Honda Civic berwarna kuning dan sebuah telefon bimbit.

“Semakan mendapati, suspek, seorang lelaki tempatan, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah. Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.

Suspek direman selama enam hari sehingga 26 Mac.

Siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa saling mengenali.

Dalam kejadian pada awal pagi 21 Mac itu, mangsa berusia 32 tahun dilaporkan dalam perjalanan ke rumah ibunya di Kampung Permatang Durian.

“Saksi berkata berlaku pertengkaran sebelum suspek melepaskan tembakan, mengenai lengan kanan dan dada mangsa, sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa, seorang operator kilang, sedang dirawat di Hospital Kulim dan berada dalam keadaan stabil.

“Laporan perubatan awal menunjukkan tembakan tidak mengenai mana-mana organ dalaman kritikal. Semakan juga mendapati mangsa mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button