Lagi kes tembak di sekolah di Filipina, dua maut
MANILA – Dua pelajar dilaporkan maut manakala sembilan lagi termasuk guru cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah menengah rendah di Universiti Ateneo de Zamboanga, Mindanao Barat, hari ini.
Agensi berita AFP yang memetik kenyataan Datuk Bandar Zamboanga, Khymer Olaso sebagai berkata, mangsa merupakan seorang pelajar manakala suspek yang yang terlibat, juga seorang pelajar maut setelah dipercayai menembak dirinya sendiri.
Beliau berkata, suspek, pelajar Tingkatan Satu dipercayai memasuki sekolah dengan membawa senjata api berkuasa tinggi dan pistol berkaliber .45.
“Rakaman video menunjukkan dia terlebih dahulu menembak seorang guru yang sedang duduk di meja.
“Bagaimanapun, dia dipercayai tersasar sebelum bergerak ke bilik lain dan menembak seorang lagi pelajar sehingga mangsa rebah, “katanya kepada sebuah stesen radio tempatan.
Pihak sekolah mengesahkan dua kematian berlaku dalam kejadian berkenaan.
Dalam kenyataannya, pihak sekolah berkata keselamatan pelajar menjadi keutamaan dan pihaknya sudah berhubung dengan ibu bapa serta penjaga untuk mengambil anak masing-masing.
Pihak sekolah turut memastikan keselamatan pelajar lain yang masih berada di kawasan berkenaan.
Rakaman video yang tersebar di media tempatan dan dipercayai disiarkan secara langsung menerusi media sosial menunjukkan laras senjata api bergerak menyusuri koridor sebelum dihalakan ke sebuah bilik darjah dan tembakan dilepaskan.
Pelajar yang berpakaian seragam sekolah kemudian dilihat menjerit dan bergegas keluar dari bilik berkenaan.
Akaun media sosial suspek yang didakwa melakukan serangan itu kemudian dinyahaktifkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








