MCMC siasat dakwaan salah guna AI hasilkan kandungan seksual libatkan guru, pelajar
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di media sosial bagi menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual yang didakwa melibatkan guru dan pelajar sebuah sekolah di Kedah.
MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan atau menyebarkan kandungan seksual yang boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa, khususnya kanak-kanak, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Pada masa sama katanya, penyedia perkhidmatan berlesen mempunyai kewajipan berkaitan perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 18 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
“Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh merangkumi denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak pula, hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya hari ini.
MCMC berkata, isu berkenaan turut membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Justeru, MCMC akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan dalam siasatan ini,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan semula kandungan seksual yang melibatkan atau didakwa melibatkan kanak-kanak.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh memudaratkan mangsa, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran yang sewajarnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








