Lelaki cedera ditembak selepas beli telur
SIMPANG AMPAT – Seorang lelaki cedera dipercayai akibat terkena tembakan di luar deretan rumah kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa dikatakan selesai bersenam di sebuah gimnasium sebelum singgah di sebuah kedai serbaneka dalam bangunan sama untuk membeli telur.
Ketika hendak memasuki keretanya, mangsa dipercayai didekati seorang lelaki bertopeng yang memakai jaket hitam sebelum dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
Mangsa kemudian melarikan diri ke sebuah kedai makan berhampiran bagi menyelamatkan diri, namun suspek dipercayai mengejarnya sebelum melepaskan beberapa lagi das tembakan.
Salah satu peluru dipercayai mengenai tangan kanan mangsa.
Suspek dilaporkan melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 38 tahun dipercayai mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan suspek yang melarikan diri sejurus selepas insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















