JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan suspek disyaki jual pas palsu GP Malaysia 2026

SEPANG – Polis menahan seorang kakitangan sementara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana disyaki menjual pas palsu Grand Prix Motosikal Malaysia 2026 yang berlangsung minggu ini.

SIC dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek itu ditahan semalam susulan siasatan dalaman yang dijalankan bersama pihak berkuasa.

Kenyataan itu turut memberitahu, tindakan undang-undang sedang diambil terhadap individu yang diambil bekerja khusus bagi acara berkenaan.

“Bercanggah dengan khabar angin dalam talian, individu yang terlibat BUKAN Aqil. Suspek merupakan seorang kakitangan sementara yang diambil bertugas khusus untuk acara ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Pihak pengurusan litar tersebut turut menjelaskan, pas berkenaan tidak pernah dibenarkan untuk pengeluaran atau penjualan, memandangkan pas acara adalah terhad secara ketat untuk kakitangan operasi dan tidak dijual kepada orang awam.

Dalam kenyataan sama, SIC menasihati orang ramai supaya tidak membeli pas atau tiket daripada penjual di media sosial, ulat tiket (scalper) atau sumber tidak rasmi bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pas palsu.

Pihak litar menegaskan bahawa tiket rasmi bagi MotoGP Malaysia hanya boleh dibeli secara eksklusif menerusi laman webnya di www.sepangcircuit.com.

Isu tersebut menjadi tular di media sosial semalam susulan dakwaan bahawa pas palsu Suite Perdana dijual di pintu masuk litar pada harga RM250.

Beberapa hantaran dalam talian mendedahkan dakwaan penipuan itu, dengan seorang pengguna mendakwa telah membeli pas pada harga RM230 kerana menyangka ia pas yang sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button