PH fokus 24 kerusi ditandingi, serah kebijaksanaan penyokong di kawasan lain – Adly
MELAKA – Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan dan memenangi 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, penyokong PH di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu bebas menentukan bentuk sokongan mereka tanpa sebarang arahan khusus daripada kepimpinan parti.
Menurutnya, PH memberi fokus kepada kawasan yang menjadi medan pertandingan gabungan itu, manakala saingan utama di kerusi berkenaan melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“PH memang memberikan kekuatan kepada 24 DUN yang kita tandingi. Saya fikir BERSATU mempunyai perancangan sendiri kerana mereka merupakan parti yang bertanding menentang PH.
“Bagi kerusi yang tidak kita tandingi, kita tahu cabaran adalah daripada BN dan juga PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di AEON Bandaraya Melaka, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata, penyokong PH di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu boleh menggunakan kebijaksanaan masing-masing dalam menentukan sokongan kepada mana-mana pihak.
“Kami tidak mengeluarkan sebarang arahan khusus kepada penyokongnya untuk menyokong parti tertentu di kerusi berkenaan.
“Fokus kita buat masa ini adalah kepada 24 kerusi yang kita tandingi. Soal sokongan di kawasan lain adalah hak penyokong kita untuk menentukan bagaimana undi mereka diberikan.
“Saya yakin penyokong kita tahu bagaimana untuk memberikan sokongan dan undi mereka,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








