POLITIK

PH dalam bahaya sekiranya terima KJ – Amanah Negeri Sembilan

JELEBU – Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan perasaan parti gabungan lain dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya mahu menerima bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyertai mereka.

Menurut Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, PH perlu mengambil kira Barisan Nasional (BN) sebagai salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, apabila seseorang pernah dianggap ‘musuh’ oleh rakan parti, ia pasti akan menimbul masalah sangat besar kepada PH.

Tambahnya, pandangan daripada ahli akar umbi PH juga penting dalam menentukan sama ada mahu atau tidak Khairy menyertai PH.

“Secara peribadi, saya melihat kemasukan KJ (Khairy) sekiranya diterima pimpinan PH tidak akan menambah banyak sokongan sebaliknya meletakkan PH dalam bahaya.

“KJ bukanlah ‘party man’ tetapi beliau seorang populis dan sudah pasti kemasukannya sekadar untuk mencari populariti,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambah MK Ibrahim, sekiranya Khairy menyertai Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, PH dan BN berdepan saingan sengit untuk mengekalkan kerajaan ini.

Justeru, MK Ibrahim berpendapat bukan mudah untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan namun PH sudah bersedia mengatur tindakan dan strategi.

Dalam perkembangan lain, MK Ibrahim berkata, Amanah negeri akan meminta seberapa banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak berapa lama lagi.

Bagaimanapun katanya ia terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan pusat berikutan ketika ini PH bersama BN sudah menjadi rakan Kerajaan Perpaduan.

“Soal calon bagi Amanah juga belum diputuskan bukan sahaja di Negeri Sembilan sebaliknya negeri lain juga. Jawatankuasa pemilihan parti akan memilih calon yang layak tidak lama lagi,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button