Pendekatan bersepadu tangani jenayah seksual kanak-kanak – TPM Zahid
KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak memerlukan tindakan menyeluruh dan bersepadu terutamanya dengan kepesatan teknologi yang semakin kompleks, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, antara kebimbangan utama termasuk penyalahgunaan teknologi seperti deepfake dan kecurian identiti digital yang menjadi alat baharu dalam eksploitasi seksual kanak-kanak.
“Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara tegas, menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN) berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat MSN Bilangan Dua Tahun 2025 di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa menteri Kabinet.
Menurut beliau, antara langkah segera yang dirangka termasuk penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual yang dijadualkan berlangsung November ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mendedahkan statistik membimbangkan apabila jumlah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat dari 2,541 kes pada tahun 2020 kepada 3,892 kes pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 53.2 peratus.
“Jumlah mangsa juga melonjak daripada 2,561 kepada 3,988 orang dalam tempoh sama iaitu peningkatan sebanyak 55.7 peratus,” katanya.
Justeru, katanya, pelaksanaan pendekatan bersepadu itu akan melibatkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Dalam mesyuarat yang sama, MSN turut membincangkan isu gelandangan yang mengalami masalah kesihatan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan kerana ketiadaan penempatan khusus.
“Majlis menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi mewujudkan rumah jagaan kejururawatan psikiatri,” jelasnya.
Selain itu, mesyuarat turut menyarankan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras hal berkaitan pendaftaran, keselamatan, kesihatan, kurikulum dan tenaga pengajar prasekolah Islam.
“Ini adalah langkah strategik ke arah sistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih teratur dan berkesan,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan mesyuarat MSN meneliti isu ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan susulan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia yang merekodkan seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor tidak setaraf kelayakan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








