Zahid cadang potongan gaji sukarela untuk perluas wakaf Al-Quran
PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan potongan gaji secara sukarela sebagai antara kaedah berkesan bagi memperluaskan usaha wakaf Al-Quran di negara ini, khususnya menjelang bulan Ramadan.
Beliau berkata, pelaksanaan potongan berkenaan tidak seharusnya terhad kepada penjawat awam semata-mata, sebaliknya diperluaskan kepada para eksekutif serta pekerja sektor swasta sebagai satu bentuk sumbangan berterusan untuk manfaat ummah.
“Saya mencadangkan agar pemotongan gaji secara sukarela dapat dilaksanakan bukan hanya kepada pegawai-pegawai kerajaan, tetapi juga kepada para eksekutif dan pekerja di sektor swasta,” katanya ketika berucap pada Perasmian Program Wakaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.
Menurutnya, pelbagai kaedah disediakan bagi memudahkan masyarakat untuk berwakaf mengikut kemampuan masing-masing, sama ada melalui wakaf tunai, imbasan kod DuitNow, wakaf bulanan secara potongan akaun dengan kadar seikhlasnya, mahupun menerusi platform digital seperti ToyyibPay.
“Saya harap pihak Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) yang akan menguruskan pemotongan gaji ini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Nasyrul Quran,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, sumbangan melalui kaedah itu perlu diuruskan secara telus dan disalurkan sepenuhnya kepada tujuan wakaf tanpa sebarang potongan lain, bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasaran.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa wakaf Al-Quran merupakan satu bentuk pelaburan akhirat yang memberi ganjaran berpanjangan kepada para penyumbang, selagi mushaf yang diwakafkan digunakan untuk bacaan dan pengajian.
“Setiap huruf yang dibaca daripada Al-Quran itu mempunyai ganjaran. Bayangkan jika mushaf yang kita wakafkan dibaca oleh anak-anak hafiz atau digunakan oleh keluarga yang memerlukannya, pahala itu terus mengalir,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Program Wakaf Al-Quran yang kini memasuki penganjuran kali ke-19 itu turut menyasarkan pengedaran mushaf ke negara-negara yang mempunyai komuniti minoriti Islam, selain usaha menterjemahkan Al-Quran ke dalam 30 bahasa bagi meluaskan penyebaran mesej Islam.
“Antaranya, usaha berterusan menghantar Al-Quran terjemahan Bahasa Khmer ke Kemboja, dengan sasaran 100 ribu naskhah dan setakat ini, 80 ribu telah berjaya disampaikan,” katanya.
Justeru, beliau turut menyeru penglibatan lebih meluas media arus perdana serta pempengaruh media sosial untuk membantu mempromosikan kempen berkenaan dan menggalakkan orang ramai menyumbang sekurang-kurangnya satu naskhah Al-Quran.
“Dalam era komunikasi terbuka hari ini, kolaborasi antara institusi, media dan pempengaruh amat penting bagi memastikan usaha wakaf ini terus diperkasakan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa dan ulama terkenal dari Iraq, Syeikh Afeefuddin Al-Jailani.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








