BERITA SEMASA

Malaysia, Singapura sepakat perkukuh kerjasama strategik – TPM Zahid

SINGAPURA – Malaysia dan Singapura komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong sempena lawatan kerja beliau ke negara itu hari ini.

Katanya, pertemuan tersebut turut memberi tumpuan kepada projek-projek strategik berimpak tinggi yang berpotensi merancakkan pelaburan langsung asing (FDI) dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan dan rakyat Singapura sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 iaitu satu detik bersejarah yang melambangkan kejayaan luar biasa sebuah negara yang menjadi inspirasi kepada rantau ASEAN melalui inovasi, tadbir urus cemerlang dan ketahanan yang mengagumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, antara aspek utama yang dibincangkan ialah kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkukuh hubungan antara rakyat sebagai asas persefahaman jangka panjang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia dan Singapura turut memperhalusi perbincangan mengenai kerangka undang-undang berkaitan ekonomi gig termasuk keperluan berkongsi amalan terbaik bagi memastikan kebajikan pekerja gig dilindungi.

“Malaysia berkongsi inisiatif sedia ada dalam menyokong sektor itu, termasuk perlindungan sosial dan dasar progresif dalam membina ekonomi digital yang inklusif dan berdaya saing,” ujarnya.

Sementara itu, dalam pertemuan bersama Gan Kim Yong, kedua-dua pihak sependapat potensi pasaran ASEAN harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh perdagangan dua hala.

“Saya menekankan peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini yang didukung oleh infrastruktur taman perindustrian halal, pensijilan bertaraf dunia serta kerjasama erat serantau,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan Singapura telah menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memperkasa kualiti dan ekosistem pendidikan teknikal.

Menurutnya lagi, kedua-dua pemimpin Singapura turut menghargai peranan aktif Malaysia dalam menangani ketegangan di persempadanan Thailand-Kemboja, sejajar dengan kepengerusian ASEAN yang dipegang Malaysia.

Lawatan kerja Ahmad Zahid ke Singapura turut disusuli sesi makan tengah hari bersama Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, melengkapkan rangkaian pertemuannya dengan pimpinan tertinggi negara itu.

“Perbincangan yang berlangsung sepanjang hari ini amat bermanfaat dan penuh dengan idea serta peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

“Saya yakin hasil pertemuan itu akan membuka lembaran baharu yang strategik antara Malaysia dan Singapura demi kemakmuran bersama sebagai dua negara bersaudara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button