LUAR NEGARA

Gaji tahunan PM Singapura naik 64% kepada RM11.5 juta

SINGAPURAGaji tahunan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan meningkat 64 peratus kepada S$3.6 juta (AS$2.85 juta atau kira-kira RM11.5 juta) mulai 15 Oktober ini.

Kenaikan itu adalah sebahagian daripada pelarasan gaji bagi pemegang jawatan politik di republik berkenaan, yang kali terakhir dibuat pada 2012.

Wong ketika berucap di Parlimen mengakui isu gaji politik merupakan perkara sensitif dan mencetuskan perasaan bercampur dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, jumlah yang diterima pemimpin politik jauh lebih tinggi berbanding pendapatan kebanyakan rakyat, justeru memahami mengapa perkara itu mendapat perhatian dan penelitian masyarakat.

Bagaimanapun, Wong berkata, isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan jumlah gaji, sebaliknya menyentuh persoalan sama ada Singapura mampu terus mendapatkan kepimpinan politik berkualiti untuk membawa negara ke hadapan.

“Saya faham mengapa rakyat Singapura menelitinya dengan begitu dekat dan mengapa ramai berasa kuat mengenainya,” katanya memetik laporan media tempatan.

Wong turut mengumumkan bahawa beliau akan menyumbangkan kenaikan gajinya kepada badan kebajikan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan pelarasan baharu itu, gaji menteri junior yang kini sekitar S$1.1 juta setahun boleh meningkat sehingga S$1.8 juta, bergantung kepada prestasi dan tanggungjawab.

Namun, kenaikan itu tidak akan berlaku serta-merta. Pemegang jawatan politik akan menerima kenaikan sekali sahaja sehingga sembilan peratus sebelum pelarasan seterusnya dibuat berdasarkan prestasi.

Menjelang akhir penggal kerajaan semasa, kebanyakan menteri junior dijangka menerima kira-kira S$1.35 juta setahun, manakala mereka yang berprestasi tinggi berpeluang menerima jumlah lebih tinggi.

Singapura mempertahankan sistem gaji tinggi bagi pemimpin politik sebagai usaha menarik bakat terbaik serta mengurangkan risiko rasuah.

Sebagai perbandingan, Perdana Menteri Britain menerima sekitar AS$230,000 setahun, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menerima AS$400,000.

Isu kenaikan gaji itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan dalam media sosial, dengan sebahagian pengguna menyifatkannya sebagai tidak peka terhadap keadaan rakyat, manakala sebahagian lain berpandangan kenaikan tersebut wajar sekiranya prestasi kerajaan dapat menjamin pengurusan negara yang lebih baik.

Gaji politik Singapura dipautkan kepada penanda aras pendapatan 1,000 rakyat Singapura berpendapatan tertinggi.

Menurut pakar sains politik Universiti Nasional Singapura, Chong Ja Ian, penanda aras berkenaan boleh menimbulkan persoalan mengenai jurang pendapatan kerana ia berpotensi menyebabkan menteri lebih dekat dengan golongan berpendapatan tinggi berbanding pengalaman rakyat biasa.

Sementara itu, pelarasan gaji menteri pada 2012 menyaksikan pengurangan sebanyak 36 peratus susulan ketidakpuasan hati awam terhadap kadar gaji pemimpin politik ketika itu.

Kerajaan kemudian menjalankan semakan pada 2017, namun memilih untuk tidak melaksanakan cadangan kenaikan gaji. Semakan seterusnya yang sepatutnya dibuat pada 2023 pula ditangguhkan berikutan ketidaktentuan ekonomi.

Ahli Parlimen Singapura dijadual membahaskan isu kenaikan gaji tersebut pada Khamis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button