Kepengerusian ASEAN peluang perkukuh penyatuan serantau – Anwar
PUTRAJAYA – Kepengerusian ASEAN bukan sekadar simbol, tetapi peluang untuk mengangkat semula semangat penyatuan negara-negara di rantau Asia Tenggara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, penyatuan tersebut mampu dipacu atas faktor ASEAN adalah antara blok ekonomi yang terpesat dan paling aman di dunia.
“Bahawasanya keamanan rantau ini hanya akan kekal jika kekuatan dalaman kita kukuh. Hatta, kita mesti saling mendokong dan berani merungkai masalah serantau secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di sini pagi tadi.
Anwar berkata, beliau telah memanjatkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga MOF atas penganjuran Mesyuarat ASEAN 2025 (Trek Kewangan) yang berjalan cukup rapi dan teratur minggu lalu.
“Alhamdulillah, kita telah mempamerkan wajah Malaysia yang bersedia dan berkebolehan di pentas antarabangsa,” katanya.
Dalam ucapan beliau, Anwar turut memaklumkan selepas lawatan rasmi Presiden Xi Jinping ke Malaysia, beliau akan berlepas ke Bangkok membawa dua misi penting, yakni menyelesaikan isu banjir di Sungai Golok dan menghadiri sidang ulung Ketua ASEAN bersama kepimpinan Myanmar demi aspek kemanusiaan.
Anwar menegaskan, Malaysia kekal dengan komitmen untuk menyediakan bantuan, termasuk membina hospital sementara di Myanmar pasca gempa bumi yang melanda.
Walau bagaimanapun, Anwar berkata, syaratnya jelas bahawa bantuan hanya akan disalurkan jika rejim tentera bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata.
“Di kala dunia sedang bergolak, biarlah ASEAN menjadi mercu harapan — kukuh dari dalam, dihormati di luar, nescaya ini dapat membentuk sebuah ASEAN yang bukan sahaja makmur, tetapi juga bermaruah dan berperikemanusiaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








