CPTPP buka peluang baharu perkongsian ekonomi Malaysia-UK – PM Anwar
UNITED KINGDOM – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menjadi saluran kritikal untuk memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada pelancaran produk oleh YTL Group UK, Anwar berkata, kejayaan perjanjian tersebut adalah tanda komitmen politik serius yang memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas.
“Syabas kepada YTL kerana menjadi pelabur terbesar Malaysia di UK hasil perjanjian tersebut sekaligus mengubah Bristol Brabazon, bekas tapak bersejarah Filton Airfield menjadi kawasan pembangunan utama yang menempatkan pelbagai kemudahan penting.
“Antaranya, kemudahan tempat kerja, sekolah, taman bandar baharu, kedai, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan kawasan hijau dalam tempoh 15 tahun selain turut melibatkan pembangunan 6,500 rumah lestari berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, perdana menteri melancarkan projek bandar baharu YTL Brabazon di Bristol, sempena lawatan kerja lima hari beliau ke UK.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Negara UK bagi Perniagaan dan Perdagangan, Jonathan Reynolds; Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Sir Francis Yeoh Sock Ping; serta Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Yeoh Seok Hong.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan, Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar para pelabur dunia.
Jelas beliau, ia selepas mengambil kira polisi kerajaan yang kritikal terhadap soal tenaga, kecerdasan buatan dan semikonduktor selain faktor kestabilan politik.
“Saya maklumkan, untuk refleksi transisi kemajuan ekonomi dan kejayaan, Malaysia perlu sokongan para pelabur tempatan dan luar negara disokong dengan faktor kestabilan dan keharmonian benua ASEAN yang dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








