Keputusan AT&S perluas operasi di Kulim cerminkan peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa
PUTRAJAYA – Keputusan syarikat Austria, AT&S untuk memperluaskan operasinya di Kulim, Kedah menerusi pelaburan baharu sehingga €2 bilion (RM9.4 bilion) mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sekali gus membuktikan bahawa dasar yang jelas, kestabilan politik, tadbir urus baik serta komitmen kerajaan terhadap transformasi ekonomi telah meletakkan negara ini sebagai destinasi utama pelaburan teknologi canggih dan hab pertumbuhan serantau baharu.
“Pertemuan dan perbincangan yang diadakan pada awal Jun telah membuahkan hasil apabila AT&S mengumumkan hasratnya untuk memperluaskan operasi di Kulim, Kedah, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi,” katanya dalam hantaran di X, hari ini.
Perkembangan terbaharu itu turut dijangka terus memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.
Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan AT&S di laman webnya yang menyatakan pengeluar cip itu komited untuk melabur antara €1.5 bilion hingga €2 bilion bagi memperluaskan tapak pembuatannya di Kulim, dengan sokongan komitmen jangka panjang daripada pelanggan.
Perdana Menteri seterusnya berkata, perkembangan itu penting dalam memperkukuh kepercayaan serta komitmen bersama terhadap masa depan ekonomi digital Malaysia, yang kini diterjemahkan melalui pelaburan nyata berimpak tinggi untuk negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








