Nurul Izzah nyata hasrat undur diri, namun diberi cuti sementara sebagai Timbalan Presiden PKR
KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberikan cuti sementara kepada Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar, selepas beliau memohon untuk mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP mendengar penjelasan serta pandangan Nurul Izzah dan barisan kepimpinan parti.
“Cuti sementara itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja selesai Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi memastikan kelancaran pentadbiran parti, MPP memutuskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Dalam perkembangan sama katanya, MPP turut bersetuju melantik Datuk Seri Amirudin Shari untuk menggalas sepenuhnya tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
Sementara itu katanya, Nurul Izzah dijadualkan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos ini sempena Kongres Nasional 2026.
Pada mesyuarat yang sama katanya, MPP turut meluluskan penyertaan seramai 3,533 anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos, sekali gus memperkukuhkan keanggotaan parti menjelang agenda organisasi dan persiapan politik akan datang.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan katanya, MPP menerima dan menghormati keputusan tersebut.
Beliau berkata, PKR juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus sewaktu dua PRN itu serta merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan di atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal yang lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








