BERITA SEMASA

11 rakyat Malaysia terputus hubungan susulan banjir besar di Nepal

PUTRAJAYA – Seramai 11 warganegara Malaysia dipercayai berada di daerah Rasuwa, Nepal, dilaporkan terputus hubungan susulan banjir besar yang melanda kawasan berkenaan, hari ini.

Kementerian Luar memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan daripada agensi pelancongan mengenai kehilangan komunikasi dengan kesemua 11 rakyat Malaysia berkenaan.

Menurut kementerian itu, gangguan komunikasi dipercayai berpunca daripada kerosakan teruk terhadap rangkaian telekomunikasi dan bekalan elektrik akibat bencana berkenaan.

“Pihak Kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini sedang dikerahkan oleh kerajaan Nepal bagi mengesan warganegara Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” menurut Wisma Putra dalam pemakluman media, hari ini.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri.

Mereka juga diminta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Kementerian itu menggesa rakyat Malaysia supaya mendaftar serta memastikan maklumat perhubungan sentiasa dikemas kini menerusi portal e-Konsular.

Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi talian umum +977 1 544 5680 atau +977 1 544 5681, talian konsular +977 1 544 5689 dan talian kecemasan +977 980 100 8000.

Wisma Putra berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian itu secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini sebaik menerima pengesahan mengenai keadaan 11 rakyat Malaysia terbabit.

Banjir kilat susulan limpahan Sungai Bhote Koshi dilaporkan melanda daerah Rasuwa di utara Nepal pada pagi Rabu, menyebabkan kerosakan terhadap kawasan pasar, penempatan penduduk dan infrastruktur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button