Tanah runtuh di Sudan ragut lebih 1,000 nyawa, kumpulan pemberontak rayu bantuan luar
KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Pergunungan Marra, barat Sudan, semalam menurut kenyataan kumpulan pemberontak Sudan Liberation Movement/Army (SLM/A) yang dipetik oleh BBC.
Tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari, sekali gus meratakan hampir keseluruhan perkampungan Tarasin.

Hanya seorang mangsa dilaporkan terselamat dalam kejadian itu.
SLM/A dalam kenyataannya turut merayu bantuan kemanusiaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi serantau dan antarabangsa lain bagi membantu mangsa yang terjejas.
Kawasan Pergunungan Marra kini menjadi tumpuan pelarian dari negeri Darfur Utara yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik bersenjata antara tentera Sudan dan pasukan paramilitari Rapid Support Forces (RSF).
Perang saudara yang tercetus sejak April 2023 itu mengheret Sudan ke kancah kebuluran, selain mencetuskan tuduhan jenayah pembunuhan beramai-ramai di wilayah Darfur.
Walaupun anggaran jumlah korban perang dilaporkan berbeza-beza, seorang pegawai Amerika Syarikat mendakwa sekitar 150,000 orang terbunuh sejak permusuhan bermula, manakala kira-kira 12 juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Faksi SLM/A yang menguasai kawasan kejadian berikrar akan terus bersekutu dengan tentera Sudan bagi menentang RSF.
Ramai penduduk Darfur percaya bahawa RSF bersama militia sekutu mereka sedang berusaha menukar komposisi etnik wilayah itu bagi mewujudkan pemerintahan berteraskan dominasi Arab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








