82 maut lombong emas runtuh di Sudan
KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 82 orang maut manakala lebih 50 lagi cedera selepas sebuah lombong emas runtuh di kawasan al-Zara, berhampiran bandar Nuhud, wilayah barat Kordofan, Sudan.
Angka korban itu disahkan sumber dalam kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang menguasai kawasan berkenaan, manakala jumlah sebenar mangsa dikhuatiri meningkat kerana masih terdapat individu yang terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut sumber berkenaan, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan menggunakan peralatan asas berikutan kekurangan jentera berat di lokasi kejadian.
Seorang mangsa yang terselamat berkata, keadaan di lombong itu sangat kritikal kerana tiada jentera mencukupi untuk mengalihkan tanah dan batu pada kedalaman lebih 30 meter.
Usaha menyelamat turut dilakukan pelombong lain dengan menggunakan peralatan yang sama digunakan untuk melombong emas.
Lombong al-Zara merupakan antara ribuan tapak perlombongan emas berskala kecil dan tidak rasmi di Sudan yang dikendalikan tanpa pematuhan sepenuhnya terhadap standard keselamatan.
West Kordofan kini berada di bawah kawalan RSF, yang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023.
Sudan merupakan antara pengeluar emas utama di Afrika, namun sebahagian besar aktiviti perlombongan dilakukan secara tidak rasmi, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan dan runtuhan lombong.
Beberapa kejadian runtuhan lombong sebelum ini turut mengorbankan puluhan pelombong, termasuk 38 orang pada 2021 dan 14 orang pada 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








