BERITA SEMASALUAR NEGARA

RSF kuasai Darfur, Sudan di ambang perpecahan

KAHERAH – Perang saudara di Sudan yang berlarutan lebih dua tahun kini memasuki fasa paling genting apabila pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berjaya menawan sepenuhnya wilayah Darfur selepas menyingkirkan tentera Sudan (SAF) daripada kubu terakhir mereka di El-Fasher, Darfur Utara.

Berita antarabangsa melaporkan, kejatuhan bandar strategik itu menimbulkan kebimbangan bahawa Sudan yang merupakan negara ketiga terbesar di Afrika berisiko berpecah sekali lagi, hampir 15 tahun selepas kemerdekaan Sudan Selatan pada 2011.

Konflik antara RSF dan SAF telah meragut lebih 40,000 nyawa serta memaksa lebih 14 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, menjadikannya antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia ketika ini.

RSF yang diketuai Jeneral Mohammed Hamdan Dagalo atau Hemedti, berakar daripada militan Janjaweed yang terkenal dengan kekejaman mereka dalam konflik Darfur pada awal 2000-an. Pasukan itu ditubuhkan oleh bekas Presiden Omar al-Bashir pada 2013 bagi menentang pemberontak bukan Arab di wilayah bergolak tersebut.

Hemedti, yang kini memiliki lebih 100,000 pejuang bersenjata dan kekayaan hasil perdagangan emas, dilihat sebagai tokoh paling berkuasa di Sudan selepas penggulingan Bashir pada 2019.

RSF dituduh melakukan pelbagai kekejaman termasuk pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pemindahan paksa penduduk awam. Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan terhadap Hemedti dan keluarganya atas dakwaan genosid.

Selepas menawan El-Fasher, RSF dilaporkan sedang menubuhkan kerajaan sendiri bagi mentadbir wilayah yang dikuasainya, langkah yang boleh menggugat perpaduan Sudan.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika menyeru gencatan senjata segera serta penyaluran bantuan kemanusiaan, namun pertempuran masih berterusan antara RSF dan SAF yang masing-masing mendapat sokongan sekutu luar termasuk dari Turkiye, China, Iran dan Rusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button