LUAR NEGARA

Lebih 100 pelombong maut lombong emas runtuh

YAOUNDE (CAMEROON) – Lebih 100 orang dipercayai maut selepas sebuah lombong emas runtuh di Kampung Zamboye yang terletak berhampiran kawasan sempadan negara ini dengan Republik Afrika Tengah (CAR), dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan, Selasa lalu.

Media kerajaan Cameroon, CRTV, melaporkan jumlah korban kini telah melebihi 100 orang, manakala beberapa media tempatan mendakwa sekurang-kurangnya 107 mayat telah ditemukan dari kawasan runtuhan.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Timur Cameroon, Gregoire Mvongo mendakwa setakat ini hanya tiga hingga lima rakyat negara itu disahkan terkorban dalam tragedi berkenaan.

“Zamboye ialah sebuah kampung sempadan, tetapi lombong itu runtuh di sebelah CAR. Kira-kira tiga hingga lima rakyat Cameroon maut. Kami sedang melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkan mangsa,” katanya seperti dilaporkan Xinhua.

Tangkap layar video sekumpulan pelombong ditimbusi tanah runtuh di Cameroon.

Dalam pada itu, penduduk berhampiran lokasi kejadian, Oriegene Dokna berkata, tragedi tersebut mengejutkan masyarakat setempat yang selama ini bergantung rezeki melombong emas di kawasan itu.

“Kami terkejut dengan tragedi ini. Keluarga berkabung sejak semalam. Ini situasi yang sukar untuk diterima,” katanya.

Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan pelombong yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Kawasan sempadan Cameroon-CAR mempunyai aktiviti perlombongan emas yang tinggi, dengan sebahagian operasi dilakukan secara kecil-kecilan dan tidak formal, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan akibat keadaan lombong yang tidak selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button