Jabatan Perikanan pertimbang kaedah eDNA kesan piranha di Empangan Klau
KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang mempertimbang penggunaan kaedah analisis asid deoksiribonukleik persekitaran (eDNA) bagi mengesan kewujudan ikan yang disyaki piranha di Empangan Klau, Raub tanpa bergantung sepenuhnya kepada tangkapan fizikal.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hassan berkata, kaedah berkenaan membolehkan DNA organisma dikesan menerusi sampel air, sekali gus berpotensi membantu mengenal pasti kewujudan populasi ikan yang kecil atau sukar ditangkap.
Bagaimanapun katanya, eDNA lebih sesuai digunakan sebagai kaedah pengesanan awal kerana keputusan positif tidak semestinya membuktikan piranha benar-benar menetap di lokasi berkenaan.
“DNA boleh dibawa arus dari kawasan lain dan sebab itu dapatan eDNA perlu disokong dengan bukti lain termasuk tangkapan fizikal serta pemeriksaan spesimen,” katanya ketika mengulas perkembangan siasatan Jabatan Perikanan berhubung dua penemuan ikan yang disyaki piranha di Empangan Klau.
BACA JUGA:
Ikan piranha dan spesies terlarang mudah didapati secara online
Spesimen kedua piranha ditemukan di Sungai Klau
Dakwaan piranha di Empangan Klau cetus kebimbangan, Jabatan Perikanan siasat
Roslan berkata, penilaian terhadap dua penemuan berkenaan setakat ini hanya dapat dibuat berdasarkan rakaman video kerana spesimen fizikal ikan tidak diserahkan oleh pemancing untuk pemeriksaan saintifik.
Menurutnya, penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan terhadap rakaman dan gambar penemuan terdahulu mendapati ciri morfologi ikan berkenaan konsisten dengan genus Pygocentrus iaitu kumpulan ikan piranha.
“Bagaimanapun, pengesahan sehingga peringkat spesies masih tidak dapat dibuat berikutan ketiadaan spesimen fizikal untuk pemeriksaan lanjut.
“Antara ciri penting yang boleh membantu pengecaman ialah struktur gigi rahang, predorsal spine, preanal spine, ectopterygoid teeth dan susunan abdominal serrae,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Beliau berkata, predorsal spine merupakan antara ciri diagnostik penting bagi membezakan piranha daripada genus Pygocentrus dengan pacu daripada genus Piaractus kerana struktur itu terdapat pada Pygocentrus tetapi tidak pada Piaractus.
Katanya, perbezaan turut dapat dilihat pada struktur gigi apabila piranha mempunyai gigi yang sesuai untuk memotong cebisan daging, manakala pacu mempunyai gigi lebih kukuh yang sesuai untuk menghancurkan bahan makanan keras.
Roslan berkata, berdasarkan pemantauan semasa, pihaknya belum mempunyai bukti yang menunjukkan piranha sudah bertapak dan membiak sehingga membentuk populasi di Empangan Klau.
“Kesesuaian iklim tropika Malaysia secara teori tidak semestinya menghalang kelangsungan hidup spesies seperti Pygocentrus nattereri, namun ia tidak bermakna keadaan habitat Empangan Klau sememangnya sesuai untuk spesies berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





