BERITA SEMASA

Dakwaan piranha di Empangan Klau cetus kebimbangan, Jabatan Perikanan siasat

KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan penemuan ikan pemangsa invasif, piranha perut merah atau Pygocentrus nattereri, di Empangan Klau, Raub.

Dakwaan itu tular di media sosial selepas seorang pemancing dilaporkan berjaya mendaratkan ikan berkenaan ketika memancing di kawasan empangan tersebut.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, pihaknya sudah menggerakkan anggota ke lokasi berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan mengesahkan spesies ikan yang didakwa ditemui itu.

“Dakwaan ini mungkin betul atau mungkin ia tidak tepat, tetapi kita akan buat siasatan mengenai perkara ini esok.

“Saya sudah gerakkan anggota ke sana (Empangan Klau) bagi mengumpul maklumat lanjut serta mengesahkan penemuan ikan larangan di negara ini,” katanya memetik Sinar Harian.

Terdahulu, satu hantaran di laman sosial menggesa orang awam supaya berwaspada susulan dakwaan penemuan spesimen ikan pemangsa yang lazimnya berasal dari Lembangan Sungai Amazon, Amerika Selatan.

Hantaran berkenaan turut mendakwa ikan yang ditemui pemancing tempatan itu mempunyai ciri berbeza daripada piranha perut merah, iaitu spesies yang pernah dilaporkan ditemui di perairan berkenaan sebelum ini.

Dakwaan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan ancaman kepada ekosistem air tawar sekiranya spesies pemangsa berkenaan benar-benar terdapat di Empangan Klau.

Roslan berkata, hasil siasatan akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan mitigasi yang bersesuaian diambil.

“Kami akan teliti perkara ini dan tindakan mitigasi akan diambil,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button