Hujan berterusan tahap bahaya di Terengganu, Pahang
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa daerah Pantai Timur khususnya Maran di Pahang serta Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu yang dijangka berlarutan sehingga esok.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, amaran tahap buruk turut dikeluarkan di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu selain Jerantut dan Kuantan di Pahang.
Menurut beliau, amaran tahap waspada pula membabitkan kawasan lebih luas merentasi lima negeri.
Di Perak, ia merangkumi Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Keseluruhan daerah di Kelantan dan Selangor turut berada pada tahap waspada, selain Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan di Pahang.
“Ia juga meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Jelebu di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui portal dan aplikasi myCuaca, selain memantau hebahan di media sosial rasmi jabatan itu. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi talian 1-300-22-1638.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








