SUKAN

Lebih 4,000 sertai ASEAN Solidarity Cycling Tour 2025

KUALA TERENGGANU – Lebih 4,000 peserta memeriahkan ASEAN Solidarity Cycling Tour 2025 yang berlangsung di Kuala Terengganu hari ini, melibatkan acara berbasikal, larian dan berjalan kaki.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkukuh hubungan persahabatan negara-negara ASEAN.

Lebih 4,000 sertai ASEAN Solidarity Cycling Tour 2025
Lebih 4,000 sertai ASEAN Solidarity Cycling Tour 2025

“Delegasi daripada Indonesia, Kemboja, Brunei, Singapura dan Myanmar turut serta, dengan setiap negara menghantar tiga hingga empat wakil.

“Ada juga peserta berbasikal dari luar Malaysia yang hadir,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana penglibatan aktif negeri itu dalam sukan berbasikal serta faktor logistik yang memudahkan urusan acara.

Menurutnya, sambutan yang diterima membuktikan program seperti ini dapat menjadi platform terbaik untuk menyampaikan mesej solidariti ASEAN kepada masyarakat setempat.

Pelepasan oleh Timb. Memteri Belia dan Sukan Adam Adli acara ASEAN Solidarity Cycling Tour 2025

“Kita berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan, namun penganjuran kali ini juga selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya lagi.

Adam berkata, selain Terengganu, pelbagai program lain turut diadakan di negeri-negeri seperti Sarawak dan Johor, termasuk aktiviti membabitkan sektor belia di bawah program Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepanjang tahun.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KBS terus memberi sokongan kepada pembangunan sukan dengan membuka akses kepada kemudahan dan kepakaran sains sukan melalui kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Kita mahu melahirkan lebih ramai pelapis seperti Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa melalui platform seperti ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, KBS juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk berkongsi kepakaran kejurulatihan serta fasiliti, termasuk di Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berkongsi kemudahan dengan MSN dan Stadium Nasional.

“Kita tidak hanya fokus pada pembangunan fasiliti, tetapi juga program, kejurulatihan dan infrastruktur lain bagi memperkukuh pembangunan sukan secara menyeluruh,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button