JENAYAH & MAHKAMAH

Seludup 5kg dadah sintetik, lima rakyat Malaysia ditahan di Jakarta

KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai menyeludup lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan pada bahagian dalam kasut masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 25 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima perkongsian maklumat daripada Dittipidnarkoba Bareskrim Polri berhubung penahanan lima individu terbabit yang baru tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan komersial.

Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki berusia antara 21 hingga 30 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun.

“Daripada lima suspek itu, tiga berasal dari Sarawak manakala dua lagi berasal dari Pahang.

“Seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah, manakala empat lagi tidak mempunyai rekod jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Hussein berkata, penahanan dilakukan Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia selepas petugas mengesan pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk yang disyaki etomidate dengan setiap bungkusan mempunyai berat kira-kira 500 gram.

“Barang berkenaan disembunyikan pada bahagian insole kasut, dengan keseluruhan 10 bungkusan seberat lima kilogram ditemui,” katanya.

Menurutnya, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak Polri bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.

“Usaha ini bagi mengesan rangkaian sindiket dadah di Malaysia yang terlibat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button