JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek utama bunuh peniaga COD ditahan di Kuala Terengganu

KUANTAN – Misteri pembunuhan seorang peniaga wanita yang ditemui mati di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur akhirnya terungkai apabila polis berjaya menahan seorang lelaki di Kuala Terengganu awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun itu diberkas dalam serbuan khas oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, pada pukul 5.30 pagi.

“Selain menahan suspek, polis turut merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan beberapa dokumen penting yang dipercayai boleh membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak polis telah membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini bagi melengkapkan siasatan.

Penemuan mayat wanita berkenaan pada 13 Februari lalu mengejutkan orang ramai, mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai motif pembunuhan.

Zahari berkata, dengan tertangkapnya suspek itu, polis yakin kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kami berterima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat sehingga membantu pihak polis dalam menangkap suspek,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button