POLITIK

PKR perlu ubah strategi, kukuhkan perpaduan hadapi PRU16

PAHANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu segera mengubah pendekatan politik serta memperkukuh kesatuan dalaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang disifatkan semakin menghampiri fasa kritikal.

temgku zafrul pkr
Mesyuarat Agung Tahunan Cabang-Cabang PKR Pahang

Ahli Majlis Pimpinan PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perubahan itu penting memandangkan PKR kini bukan lagi sebuah parti pembangkang, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memikul tanggungjawab mentadbir negara.

Menurut beliau, pendekatan lama seperti terlalu bergantung kepada ceramah dan media sosial perlu ditambah baik dengan usaha turun padang yang lebih menyeluruh bagi mendekati rakyat.

“Ini bukan masa untuk sembang santai. Kita sudah memasuki fasa kritikal menuju PRU16.

“PKR hari ini bukan lagi pembangkang. Kita kerajaan, jadi cara bekerja, berkempen dan berkomunikasi mesti berubah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Cabang-Cabang PKR Pahang hari ini.

Beliau turut berkata, kekuatan parti di media sosial tidak boleh diabaikan, malah perlu diperkasakan secara lebih agresif bagi menjawab pelbagai isu semasa selain membentuk naratif yang memihak kepada parti.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepentingan menjaga perpaduan dalaman parti sebagai asas utama untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan PKR mentadbir negara.

“Jika kita sendiri tidak kuat sebagai satu pasukan, rakyat tidak akan percaya kita mampu mengurus negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, pertemuan tersebut bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya menjadi peringatan jelas bahawa masa semakin suntuk dan seluruh jentera parti perlu menggandakan usaha bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRU16.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button