Kumaresan gesa tindakan terhadap Rafizi demi maruah PKR
KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Kumaresan Aramugam menggesa Parti Keadilan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa menjejaskan parti dari dalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban itu menyifatkan tindakan Rafizi ketika ini sebagai merosakkan parti, sekali gus menuntut langkah tegas demi menjaga maruah serta keyakinan rakyat terhadap PKR.
“PKR adalah parti untuk rakyat, bukan untuk individu. Rafizi tidak boleh terus berada dalam parti sambil merosakkan dari dalam. Itu bukan prinsip, itu hipokrasi politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hanya satu langkah wajar diambil iaitu Rafizi perlu berundur demi memulihkan imej parti.
Kumaresan turut berkata, kenyataan Rafizi bahawa beliau ‘lebih bahaya’ jika keluar parti sebagai satu bentuk ugutan politik yang tidak boleh diterima.
“Ini adalah sabotaj dalaman. Pemimpin yang benar-benar ikhlas tidak akan mengugut parti sendiri demi kepentingan politik,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang dilihat lebih lantang bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.
“Sepanjang tiga tahun sebagai Menteri Ekonomi, beliau tidak bersuara seperti hari ini. Mengapa hanya lantang selepas tiada jawatan?” katanya lagi.
Tambahnya, tindakan tersebut juga dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada isu lain termasuk dakwaan berkaitan skandal pelaburan bernilai RM1.12 bilion.
Isu berkenaan dilihat berpotensi menjejaskan kestabilan dalaman PKR sekiranya tidak ditangani secara berhemah oleh kepimpinan parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








