JENAYAH & MAHKAMAH

Anak Rafizi Ramli diserang di pusat beli belah, disuntik dengan jarum suntikan

PUTRAJAYA – Anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diserang di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.

Rafizi yang mengesahkan mengenai insiden itu berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1.45 petang semasa anak dan isterinya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di sini.

Beliau berkata, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.

“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, anaknya telah dibawa segera ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan.

“Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan Hospital UPM yang telah membantu keluarganya melalui kejadian itu.

“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini. Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar.

“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button