BERITA SEMASA

Rafizi terima surat tuntutan saman kedua berkaitan isu sistem pekerja asing

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan telah menerima satu lagi surat tuntutan saman berhubung isu sistem penggajian pekerja asing.

Menurut beliau, saman pertama yang kini sedang berjalan di mahkamah difailkan oleh Bestinet Sdn Bhd, iaitu pengendali sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).

Beliau berkata, surat tuntutan saman kedua pula dikemukakan oleh pengasas dan pemilik syarikat tersebut, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor.

Rafizi menjelaskan bahawa beliau telah menyerahkan perkara itu kepada pasukan peguamnya untuk tindakan lanjut.

“Pasukan peguam akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan penilaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, bersama lapan lagi anggota parlimen PKR, mengemukakan bantahan terhadap rancangan untuk memberi Bestinet satu lagi kontrak kerajaan dipanggil The Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), dikatakan bagi menggantikan FWCMS.

Dalam kenyataan mereka, wakil rakyat PKR itu berkata FWCMS dibelenggu dengan isu, yang menimbulkan keraguan terhadap kemampuan Bestinet untuk membangunkan sistem sedemikian.

Bestinet menafikan dakwaan terhadapnya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button