Wawasan diminta tidak mendahului keputusan pucuk pimpinan PN
KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) diminta tidak mendahului keputusan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Yang Dipertua PAS Jasin, Kamaruddin Sedik berkata, proses rundingan berkaitan pembahagian kerusi masih belum dibincangkan secara rasmi dan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Katanya, sebagai parti baharu dalam PN, Wawasan perlu menghormati proses rundingan serta keputusan yang bakal ditetapkan kepemimpinan gabungan berkenaan.
“Wawasan tak perlu ‘over’ dan mendahului keputusan yang bakal dibuat. Serahkan kepada pucuk kepemimpinan PN untuk membuat keputusan.
“Jangan mendahului pucuk kepemimpinan PN. Sebagai anggota baharu, saya nasihatkan Wawasan akur sahaja dengan keputusan yang bakal dibuat kelak,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Semalam, Naib Presiden Wawasan, Abdul Rahim Thamby Chik dilaporkan berkata, PN mungkin bertanding solo dengan meletakkan calon di semua kerusi pada PRN Melaka sekiranya rundingan dengan Barisan Nasional (BN) tidak mencapai persetujuan.
Abdul Rahim, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, Wawasan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan Sungai Udang tanpa mengira sama ada kerjasama dengan BN dapat diwujudkan atau sebaliknya.
Kedua-dua kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi BERSATU yang kekal sebagai komponen PN tetapi kini berdepan perbezaan pendirian dengan PAS, selaku parti yang mempengerusikan gabungan itu.
Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 30 Disember ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














