BERITA SEMASA

Rafizi dakwa rumah akan diserbu SPRM, sedia berdepan siasatan isu Perjanjian ARM

AMPANG – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, beliau dimaklumkan sumber dalaman bahawa kediamannya bakal diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan yang mengaitkannya dengan perjanjian kerajaan bersama syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.

Bagaimanapun, Rafizi yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan berkata, beliau tidak gentar dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘taktik intimidasi’.

“Saya ni veteran bab-bab kena tangkap, kena raid, kena geledah, masuk lokap ini. Jadi saya bersedia melalui semuanya sekali lagi.

“Taktik intimidasi dan juga mencipta kes seperti ini telah pun dibuat oleh pentadbiran-pentadbiran sebelum ini. Kita pun tahu perkara itu tidak berjaya.

“Akhirnya kebenaran akan tetap terserlah dan rakyat akan buat penghakiman.

“Saya siap beritahu isteri supaya kemaskan sedikit rumah sebagai persediaan untuk serbuan yang mungkin berlaku tidak lama lagi dan pastikan pakaian dalam saya semua cantik-cantik,” katanya secara berseloroh dalam sidang media di sini, hari ini.

Malam tadi, Rafizi turut mempersendakan laporan yang dibuat kepada SPRM berhubung perjanjian dengan ARM Holdings dan menegaskan agensi antirasuah itu bebas menyiasatnya.

“Kononnya ARM merasuah saya. Siasatlah sebanyak mana pun. Makan tengah hari atau cenderamata pun saya tak terima, apatah lagi habuan. Saya masih seperti dahulu, tidak ada jutaan ringgit dalam saham,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Terdahulu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada SPRM semalam mendakwa seorang bekas menteri menyalahgunakan kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion yang dianugerahkan kepada sebuah firma asing.

Laporan itu turut dikaitkan dengan seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan syarikat terbabit.

BACA JUGA: 

[VIDEO] 3 NGO desak SPRM siasat penyelewengan projek di kementerian, libat bekas menteri

SPRM teliti dakwaan pelaburan RM1.11 bilion babit bekas Menteri Kanan

Malaysia sebelum ini komited melabur sebanyak AS$225 juta (kira-kira RM930.52 juta) bagi menjalin kerjasama selama empat tahun dengan ARM, sebuah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian, bagi memudahkan syarikat tempatan mengakses harta intelek dan teknologi dimilikinya.

Perjanjian tersebut turut merangkumi pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) ‘Made by Malaysia’ dengan memanfaatkan teknologi ARM.

Pada November 2022, SPRM pernah menyerbu Invoke Solutions Sdn Bhd, firma analitik data yang diasaskan Rafizi, susulan laporan NGO berhubung pengisytiharan aset beliau.

Sebelum ini, Rafizi turut dijatuhi hukuman penjara atas dua pertuduhan memiliki satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mendedahkan kandungan laporan itu dalam satu sidang media di bangunan Parlimen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button